Saturday, April 24, 2010

HUKUM BERJABAT TANGAN DENGAN PEREMPUAN

1. Definasi:
1.1. Meletakkan telapak tangannya pada telapak tangan sahabatnya yang
membuatkan telapak tangan berkenaan saling berhadapan. (Taajul ‘Arus Syarhul
Qamus)
1.2. Perbuatan menempelkan telapak tangan dengan telapak tangan yang lain
dengan wajah saling berhadapan. (Lisanul Arab, al-Asas & At-Tahzib)
2. Berjabat Tangan Dengan Perempuan Mahram
2.1. Siapakah dia perempuan mahram?
2.1.1. Sebab Nasab, ada 7:
1) Ibu dan nenek ke atas..
2) Anak perempuan dan cucu ke bawah…
3) Saudara perempuan seibu seayah/seayah/seibu.
4) Ibu saudara dari ayah ke atas..
5) Ibu Saudara dari ibu ke atas..
6) Anak saudara perempuan dari saudara lelaki
7) Anak saudara perempuan dari saudara perempuan.
2.1.2. Sebab Susuan, ada 7, iaitu seperti susunan di atas (mahram sebab
nasab).
2.1.3. Sebab Pernikahan, ada empat:
1) Ibu tiri (Isteri ayah).
2) Anak menantu (Isteri anak lelaki).
3) Ibu mertua (Ibu isteri).
4) Anak tiri (anak perempuan isteri).
2.2. Hukum Berjabat Tangan Dengan Mahram
Dibolehkan berjabat tangan dengan perempuan mahram.
3. Dalil Pengharaman Berjabat Tangan Dengan Bukan Mahram
3.1. Dari Urwah bin az-Zubair, katanya, “Aisyah r.a. pernah mengkhabarkan
kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menguji beberapa orang perempuan yang
beriman yang datang kepadanya, dengan firman Allah Taala:
“Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk
mengadakan janji setia bahawa mereka tidak akan mempersekutukan Allah, tidak
akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan
berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan
mendurkaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka..” (Al-
Mumtahanah: 12)
Maka di antara mereka yang sepakat dengan syarat ini. Rasulullah s.a.w. berkata
kepadanya: “Benar-benar telah aku bai’ah kamu.” “Demi Allah”, kata Aisyah,
“tangan baginda s.a.w. tidak menyentuh tangan seorang perempuan pun ketika
berbaiah. Baginda hanya berbaiah dengan perkataannya: “Benar-benar aku telah baiah
kamu atas hal itu.” (HR al-Bukhari)
Aisyah r.a. meriwayatkan: Tidak pernah tangan Rasulullah s.a.w. menyentuh tangan
seorang perempuan kecuali yang Baginda miliki (isterinya). (HR al-Bukhari)
3.2. Dari Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a., katanya, “Rasulullah s.a.w. tidak
pernah berjabat tangan dengan perempuan ketika berbaiah.” (HR Ahmad).
3.3. Dari Muhamad bin al-Munkadir dari Umaimah binti Duqaiqah, katanya: “Saya
pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. bersama beberapa orang perempuan untuk
berbaiah atas Islam. Maka mereka berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w., kami berjanji
setia bahawasanya kami tidak akan mempersekutukan Allah. Kami tidak akan
mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan
berbuat dusta yang kami ada-adakan antara tangan dan kaki kami, dan tidak akan
mendurhakaimu dalam urusan yang baik.”
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya: “Maka bagaimana kalian mampu?” Mereka
menjawab: “Hanya Allah dan RasulNya yang paing mengasihi kami daripada diri
kami sendiri. Marilah kami berjanji setia kepadamu, wahai Rasulullah.”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan
perempuan. Ucapanku kepada seratus perempuan seperti ucapanku kepada seorang
perempuan.” (HR Malik & Nasa’i)
3.4. Dari Ma’qil bin Yasaar r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Sesungguhnya jika dicerca kepala salah seorang dari kalian dengan alat jahit dari
besi adalah masih lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal
baginya (bukan mahramnya).” (HR At-Thabrani & al-Baihaqi, sahih).
3.5. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sudah
ditakdirkan bagi anak cucu Adam bagian dari zina yang pasti akan menimpanya.
Kedua mata, zinanya ialah memandang; zina dua telinga ialah mendengar; zina lisan
ialah ucapan; zina tangan ialah memegang; zina kaki ialah melangkah; zina hati ialah
menginginkan sesuatu, berangan-angan dan farajnya membenarkan atau
mendustakannya.”
3.6. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak pernah aku menyentuh tangan perempuan
(ajnabi/bukan mahram)” (HR At-Thabrani, dari Uqailah binti Ubaid, menurut al-
Albani: Sahih)
3.7. Ibnu Mas’ud r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Perempuan itu
aurat, maka jika dia keluar, syaitan mengagungkannya (mempercantikkannya menurut
pandangan lelaki).” (HR At-Tirmizi)
4. Berjabat Tangan Dengan Perempuan Bukan Mahram Menurut 4 mazhab
4.1. Mazhab Hanafi
- Haram menyentuh wajah dan dua telapak tangan perempuan bukan mahram,
sekalipun aman dari syahwat.
- Berjabat tangan dengan perempuan tua yang sudah tidak bersyahwat lagi; At-
Thahawi berkata tidak mengapa. Manakala Syamsudin Ahmad bin Qaudar berkata
tidak halal sekalipun aman dari syahwat.
4.2. Mazhab Maliki
- Haram berjabat tangan dengan perempuan bukan mahram. Ini dinyatakan oleh al-
Imam al-Baaji, al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi dan As-Shawi.
- Hukum berjabat tangan dengan perempuan tua, menurut Syeikh Abul Barakat
Ahmad bin Muhamad bin Ahmad ad-Durdair ia tidak dibenarkan.
4.3. Mazhab Syafi’i
- An-Nawawi di dalam beberapa karyanya, as-Syaribini dan lain-lain ulama as-Syafi’I
menyatakan haram berjabat tangan dengan perempuan bukan mahram.
- Dibenarkan menyentuh perempuan bukan mahram ketika dalam keadaan darurat,
seperti ketika berubat, pembedahan, mencabut gigi dan sebagainya, seandainya ketika
itu tidak ada perempuan yang boleh melakukannya.
4.4. Mazhab Hanbali
- Imam Ahmad ketika ditanya tentang masalah berjabat tangan dengan perempuan
bukan mahram, beliau menjawab: “Aku membencinya.”
- Berjabat tangan dengan perempuan tua; Imam Ishaq bin Mansur al-Marwazi
menukil dari imam Ahmad, ia tidak dibenarkan. Sementara Ibnu Muflih menyatakan;
pemilik an-Nazham mengatakan makruh dan dengan anak kecil dibolehkan dengan
tujuan menyemai budi pekerti.
5. Sanggahan Terhadap Keraguan Haramnya Berjabat Tangan Dengan
Perempuan Bukan Mahram
5.1. Keraguan 1: Ketika pembai’ahan terjadi, para perempuan berjabat tangan
dengan Rasulullah s.a.w. dari atas baju Baginda s.a.w. Ia didasarkan kepada riwayat
Imam Ahmad dari Asma’ binti Yazid.
Sanggahan:
1. Hadis di atas tidak boleh dijadikan hujah kerana di dalamnya terdapat Syahr bin
Hausyab. Dia seorang yang banyak benarnya dan banyak irsalnya.
2. Hadis-hadis yang semakna dengannya juga tidak dapat dijadikan hujah kerana
semuanya mursal.
3. Hadis-hadis berkenaan bertentangan dengan kehendak hadis yang lebih sahih.
5.2. Keraguan 2:
Hadis 1. Hadis Ummi Athiyah: Rasulullah s.a.w. telah membai’ah kami, kemudian
membacakan kepada kami untuk tidak mempersekutukan Allah dan melarang kami
dari meratapi mayat. Seorang perempuan menggenggam tangannya sendiri sambil
berkata: “Si fulanah telah membahagiakanku, maka aku ingin membalasnya.” (HR al-
Bukhari)
Hadis ini memberi petunjuk, bai’ah dengan Rasulullah s.a.w. dilakukan menggunakan
tangan-tangan mereka.
Hadis 2. Hadis riwayat dari Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Bazzar, At-Thabari dan
Ibnu Murdawaih dari jalan Ismail bin Abdur Rahman dari neneknya Ummi Athiyah
dalam hadis pembai’ahan: “Lalu Nabi s.a.w. menghulurkan tangannya dari luar
rumah, sedangkan kami mengeluarkan tangan kami dari dalam rumah. Kemudian
Baginda s.a.w. bersabda: “Ya Allah, saksikanlah.”
Sanggahan Hadis 1:
Hadis berkenaan menunjukkan yang sebaliknya, iaitu Nabi s.a.w. tidak berjabat
tangan dengan perempuan-perempuan yang berbaiah dengannya.
Sanggahan Hadis 2:
Menghulurkan tangan dari belakang tabir bukanlah menunjukkan Baginda s.a.w.
berjabat tangan tetapi adalah isyarat telah berlakunya bai’ah sekalipun tidak berjabat
tangan.
5.3. Keraguan 3: Telah diriwayatkan bahawa saidina Umar r.a. pernah berjabat
tangan dengan perempuan dalam bai’ah mewakili Rasulullah s.a.w.
Sanggahan:
Al-Qadhi Abu Bakar bin al-Arabi: Riwayat di atas dha’if.
5.4. Keraguan 4: Hadis: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan
perempuan.” Ini bermakna Rasulullah s.a.w. tidak melarangnya secara mutlak.
Sabdaan di atas khusus untuk bai’ah sahaja.
Sanggahan:
Pendapat di atas tidak menepati kaedah: Pengajaran tidak diambil dari kekhususan
sebab tetapi keumuman lafaznya.
5.5. Keraguan 5: Berjabat tangan dengan bukan mahram dalam situasi zaman
sekarang telah menjadi perkara darurat kerana telah tradisi ini telah tersebar luas.
Sanggahan:
Tersebar dan meluasnya tradisi berjabat tangan dengan perempuan tidak termasuk hal
darurat.
5.6. Keraguan 6: Kita hanya diperintah meneladani terhadap apa yang dikerjakan
oleh Rasulullah s.a.w., bukan terhadap apa yang Baginda s.a.w. tinggalkan (tidak
kerjakan).
Sanggahan:
Menurut al-Qastalani as-Syafi’I, sunnah ialah apa yang dikerjakan oleh Rasulullah
s.a.w. dan apa yang ditinggalkan (tidak dikerjakan) oleh Baginda s.a.w.
5.7. Keraguan 7: Firman Allah Taala: “Dan jika kamu sakit atau sedang dalam
perjalanan atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan,
kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayammumlah kamu dengan tanah yang
baik (suci).” (An-Nisaa’: 43)
Firman: “atau kamu telah menyentuh perempuan..” di atas menunjukkan bolehnya
berjabat tangan dengan perempuan bukan mahram sekalipun ia dapat membatalkan
wuduk.
Sanggahan:
Ayat di atas menunjukkan perkara-perkara yang mewajibkan bersuci dengan
menyentuh isteri ataupun perempuan bukan mahram. Ia tidak ada kaitan samasekali
dengan permasalahan berjabat tangan
6. Adab Berjabat Tangan
6.1. Sunnah berjabat tangan
6.1.1. Imam An-Nawawi menjelaskan para ulama bersepakat atas sunnahnya
berjabat tangan ketika bertemu.
6.1.2. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: “Seorang lelaki bertanya: “Wahai
Rasulullah, apabila salah seorang dari kami bertemu dengan temannya, apakah dia
perlu menundukkan kepala?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Tidak.” Kemudian lelaki
itu bertanya lagi: “Apakah dia perlu merangkul dan menciumnya?” Baginda
menjawab: “Tidak.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia perlu berjabat tangan?”
Baginda menjawab: “Ya, jika dia mahu.” (HR At-Tirmizi)
6.1.3. Diriwayatkan dari Anas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
”Janganlah seorang lelaki menundukkan kepada kepada lelaki lain, dan jangan juga
merangkulnya.” Kemudian para sahabat bertanya: “Apakah lelaki itu boleh berjabat
tangan dengannya?” Baginda s.a.w. menjawab: “Ya.” Dari Anas r.a. katanya, “Dulu
para sahabat nabi s.a.w. semasa bertemu sesama mereka akan saling berangkulan.”
(HR at-Thabari dalam al-Ausath dengan sanad baik dan perawi yang sahih).
6.1.4. Huzaifah r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. pernah bertemu denganku,
kemudian baginda s.a.w. bersabda: “Hulurkan tanganmu.” Namun aku tetap
menggenggam tanganku (tidak mahu menghulurkannya), hingga untuk kali kedua dan
ketiga diminta oleh baginda.” Maka Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku: “Apakah
yang menghalangimu?” Aku menjawab: Sesungguhnya aku sedang berjunub.”
Kemudian baginda s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin bertemu
sesama mereka, kemudian memberi salam dan mengambil tangannya berjabat tangan,
maka kesalahan-kesalahan keduanya berguguran seperti gugurnya daun-daun pokok.”
(HR at-Thabari dalam al-Ausath).
6.2. Disunahkan tersenyum dengan wajah berseri ketika bertemu
6.2.1. Dari Abu Daud, dia berkata: “Aku pernah bertemu al-Barra’ r.a.
Kemudian dia mengucapkan salam kepadaku dan berjabat tangan dan tersenyum
kepadaku, kemudian katanya: “Tahukah kamu mengapa aku melakukan perkara ini
kepadamu?” Aku menjawab: “Aku tidak tahu, tetapi aku melihat engkau
melakukannya untuk suatu kebaikan.” Maka al-Baraa’ bin Azib r.a. berkata:
“Rasulullah s.a.w. pernah bertemu denganku. Baginda s.a.w. melakukan seperti yang
aku lakukan terhadapmu. Kemudian Rasulullah s.a.w. dan akupun menjawab “seperti
yang telah engkau sabdakan kepadaku”. Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: “Dua
orang muslim yang bertemu, lalu salah seorang dari keduanya memberi salam kepada
yang lain dan berjabat tangannya, ia lakukan itu semata-mata kerana Allah, maka
kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga Allah mengampuni dosa-dosanya. (HR
Imam Ahmad dihasankan oleh al-Albani. Abu Daud dan At-Tirmizi meriwayatkannya
secara marfu’).
6.2.2. Diriwayatkan oleh Jabir bin Salim al-Hujaimi r.a., katanya: “Saya
pernah berkata: “Wahai Rasulullah s.a.w., kami adalah orang desa. Maka ajarkanlah
kepada kami sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepada kami.”
Kemudian Baginda s.a.w. bersabda: “Bertqawalah kepada Allah dan janganlah
engkau sekali-kali memperkecilkan kebaikan sekalipun perlu mengosongkan timbamu
ke tempat orang yang meminta minuman, dan hendaklah engkau temui sudaramu
(sesama muslim) dengan wajah gembira.” (HR At-Thayalisi dengan susunan berbeza
dari Imam Ahmad, Abu Daud, An-Nasa’I, al-Baghawi, Ibnu Hibban dan lainnya).
6.3. Makruh berjabat tangan dengan pengidap penyakit menular
6.3.1. Maksudnya ialah semua penyakit yang dapat berjangkit melalui
sentuhan.
6.3.2. Diriwayatkan oleh As-Syuraida, katanya: “Di antara utusan Bani
Tsaqif terdapat seorang lelaki yang mengidap penyakit kusta. Maka Nabi s.a.w.
mengutus kepadanya (dengan ucapan): “Sesungguhnya kami telah membai’ah kamu,
maka pulanglah.”
6.3.3. Dari Abu Hurairah r.a. dikatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Larilah
kamu dari penderita kusta seperti kamu lari dari singa.” (HR al-Bukhari)
6.3.4. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Janganlah orang yang berpenyakit mendatangi orang yang sihat.” (HR al-Bukhari
dan Muslim)
6.4. Masalah berjabat tangan selepas solat
6.4.1. Pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: Bid’ah. Alasannya,
Rasulullah s.a.w. tidak melakukannya dan tidak seorang ulama pun yang
menganjurkannya.
6.4.2. Ibnu Abdis salam dari kalangan as-Syafi’iyah mengatakan ia adalah
bid’ah yang dibenarkan.
6.4.3. Al-Imam an-Nawawi: Hukumnya Sunnah. Menurutnya, hukum asal
berjabat tangan adalah sunnah, dan melakukannya dalam beberapa keadaan tertentu
tidak mengeluarkannya dari hukum asal berkenaan.
6.5. Disyariatkan berjabat tangan ketika berpisah
6.5.1. Dari Qaz’ah, katanya: “Ibnu Umar pernah mengutusku untuk satu
keperluan. Kemudian dia berkata: “Marilah, aku hendak mengucapkan selamat
tinggal kepadamu, sebagaimana yang pernah lakukan kepadaku semasa Baginda
s.a.w. mengutusku untuk satu keperluan. Baginda s.a.w. bersabda: “Aku titipkan
kepada Allah agamamu, amanahmu dan penghabisan amalmu.” Dalam satu riwayat
lain dikatakan: “Kemudian Rasulullah s.a.w. mengambil tanganku lalu berjabat
denganku.” (HR Abu Daud, al-Hakim dan Ahmad).
6.5.2. Dari Nafi’, katanya: “Dulu, jika Rasulullah s.a.w. mengucapkan
selamat tinggal kepada seseorang maka Baginda s.a.w. mengambil tangannya dan
tidak melepaskannya hingga orang itu yang melepaskan tangannya terlebih dahulu.
(HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
7. Hukum memberi salam kepada perempuan
7.1. Memberi salam kepada perempuan yang mahram adalah dibenarkan, malah
dianjurkan salah seorang memulainya.
7.2. Memberi salam kepada sekumpulan perempuan ajnabi. Begitu juga,
sekumpulan lelaki boleh memberi salam kepada seorang perempuan.
Hal ini dibenarkan berdasarkan hadis:
Dari Asma’ binti Yazid, katanya: “Nabi s.a.w. pernah melalui di hadapan kami,
kemudian Baginda s.a.w. memberi salam kepada kami.” (HR Abu Daud, at-Tirmizi,
Ibnu Majah dan selainnya. Menurut at-Tirmizi hadis ini Hasan)
7.3. Memberi salam kepada perempuan ajnabi, tidak dibenarkan melainkan jika
tidak mendatangkan fitnah.
7.4. Memberi salam kepada perempuan tua, dibenarkan kerana terhindar dari
fitnah.

No comments:

Post a Comment